@Air Tawar
Mohd Nabil Zulhemay | nabilz@uitm.edu.my
Pancingan Pole Si Ikan Kaloi
Sebenarnya saya sendiri tidak pernah ambil pusing tentang pancingan ikan Kaloi selama ini. Lebih-lebih lagi dengan pancingan pole. Tetapi saya rasa teruja apabila menerima perkhabaran ada sahabat yang menjadikan ikan ini sasaran utama apabila memancing. Tanpa berlengah, saya terus set masa untuk turut serta.
Walaupun kecil tetapi berharga.
Terma “pole” dipinjam dari perkataan Inggeris yang membawa maksud “galah” jika diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Pancing pole ini sebenarnya cukup popular di kalangan masyarakat tempatan. Malah Majalah @Pancing sendiri banyak menerbitkan kisah-kisah pancingan pole sebelum ini.
Secara asasnya, pancingan pole atau ramai di kalangan kita memanggilnya “teleskopik” menggunakan joran panjang tanpa kekili. Sungguhpun begitu, sememangnya ada joran pole ini direka dapat digunakan bersama kekili tetapi harganya agak mahal.
Walaupun kedengaran simple, tetapi sebenarnya pelbagai jenis pelampung wujud untuk kegunaan pancingan pole ini termasuklah kaedah dan teknik untuk menggayakannya, bersesuaian dengan keadaan padang pancing seperti air yang tenang atau berarus.
Malah dalam isu lepas #13, Disember 2020, kolum Coarse Fishing ada menguraikan serba sedikit tentang topik pelampung pancingan pole ini. Bagi yang ketinggalan, anda boleh dapatkannya di shopee.com.my.
PANCINGAN KALOI
Sepertimana teknik memancing Puyu atau Sepat, memancing Kaloi menggunakan set joran pole tidak jauh bezanya. Asalkan diketahui lokasi tersebut dihuninya, anda boleh mencuba nasib.
Ikan kaloi merupakan subspesies Gourami dengan nama Inggerisnya, Giant Gourami. Terdapat pelbagai jenis Gourami termasuklah ikan Sepat. Sungguhpun begitu, apabila menyasarkan Kaloi, umpan yang digunakan agak berbeza daripada Sepat. Tidak seperti Kaloi, memancing Sepat saya rasa lagi rumit dari segi umpan, teknik dan pemilihan lokasinya.
UMPAN KALOI
Kami hanya menggunakan umpan anak udang hidup yang kecil untuk menduga Kaloi. Disebabkan udang adalah umpan yang universal, pasti ada sahaja ikan-ikan lain yang meragut umpan kami seperti ikan Patung, Selat, Temensis dan juga Puyu.

Jika diamati, warnanya seakan ungu menjadikan ikan ini cantik apabila dibela di dalam akuarium.

Ikan Patung yang kadang-kadang berjaya didaratkan walaupun bukan sasaran utama.
Ada juga yang menggunakan hirisan buah sawit masak terutama di sungai. Saya pernah melihat sendiri pemancing yang berjaya mendapatkan spesimen yang agak besar, spesies Kaloi liar tempatan menggunakan umpan sawit peram dicucuk sperti satay dari hujung mata kail naik ke perambut.
Di perairan berarus, pelampung sememangnya tidak berapa efisyen untuk digunakan, lantas untuk umpan dilabuhkan ke tengah, pemberat (ladung) lebih sesuai. Sekaligus, pengunaan pole tidak begitu relevan seperti apa yang diaplikasi di tasik atau taliair yang tidak berarus/air tenang.
Lokasi pancingan kali ini ialah di tasik atau boleh dikatakan kawasan tadahan air. Terdapat tumbuhan akuatik yang menjalar di permukaan air. Saya diajar untuk mencari celahan-celahan di antara rumpair untuk meletakkan umpan. Memang berkesan, tidak mengambil masa yang lama untuk Kaloi memakan umpan saya sekaligus menarik pelampung tenggelam.
Dengan cermat joran disentap agar tidak tersangkut di rumpair. Kadang-kadang tersangkut juga, maka perambut yang lebih halus perlulah digunakan untuk memastikan tali utama tidak putus bersama-sama pelampung dan pemberat apabila rentapan dibuat untuk melepaskan tali dari ranting dan samai. Ini dapat mengurangkan kerugian yang dialami. Perambut yang siap diikat lebih awal dapat menjimatkan masa ketika memancing.

Kamarul dengan Kaloi yang berjaya dipancing.

Ikan Selat antara yang tergoda dengan umpan udang.
AKUARIUM
Kaloi sebenarnya mempunyai peminatnya tersendiri di kalangan pencinta ikan hiasan. Sememangnya ikan Kaloi mempunyai perangai yang ramah pada manusia apabila telah sebati di dalam akuarium mahupun kolam. Tumbesarannya juga agak memberangsangkan, dalam masa yang singkat sahaja ia boleh membesar dengan drastik.
Inilah nikmat yang diperolehi pencinta ikan hiasan, dengan melihat sendiri ikan dibela membesar depan mata. Lenggokan sirip dan ekornya yang melambai penuh lemah gemalai, serta corak dan warna pada badannya mengasyikkan apabila diamati.
Faktor lain yang turut menyumbang kepada minat pembela ikan yang ada pada ikan Kaloi ini ialah ketahanannya di penempatan baru. Malahan pada pengamatan saya, ikan pemangsa seperti Temensis pun tidak setahan Kaloi apabila dibela.
Dari segi pemakanan, ia tidak cerewet. Ianya tergolong dalam kalangan haiwan omnivor. Ada pemiliknya yang memberi makan kangkung, kelopak bunga raya, cengkerik, udang, cacing malah ada yang terlatih untuk memakan makan siap proses walaupun ditangkap liar (wild captive).
Hanya perlu menjaga kualiti air, makanan yang cukup dan seimbang serta persekitaran yang kondusif untuk memastikan Kaloi peliharaan anda sihat dan tidak berada di dalam keadaan tertekan.
Jika ada kesempatan, saya juga ingin membela ikan ini dan pastinya akan turun lagi memancingnya. Kerana pencarian masih belum berakhir… saiz yang kasar masih belum ditemui! — @Pancing
“Lokasi pancingan kali ini ialah di tasik atau boleh dikatakan kawasan tadahan air. Terdapat tumbuhan akuatik yang menjalar di permukaan air. Saya diajar untuk mencari celahan-celahan di antara rumpair untuk meletakkan umpan. Memang berkesan, tidak mengambil masa yang lama untuk Kaloi memakan umpan saya sekaligus menarik pelampung tenggelam.”

Umpan dipersembah di separuh air atau rapat ke dasar di celahan tumbuhan akuatik.


Hampir sahaja terjunam joran saya ke dalam air ditarik spisies Chicla ini.

Kaloi apabila dibela berkumpulan lebih cantik dan mengujakan.