@Air Tawar
Rizal Mohamd Ali | rizal1842@gmail.com
Memancing Haruan Di Ladang Sawit KLIA
Ladang sawit di sekitar Kuala Lumpur International Airport (KLIA) sememangnya terkenal dengan lubuk Haruannya. Dikatakan ia terbaik diterjah ketika musim hujan.
Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang biasanya bermula pada November sehingga Mac sepanjang tahun secara relatifnya negara akan menerima taburan hujan yang lebih tinggi. Negeri Selangor turut menerima episod hujan yang berterusan sepanjang pertengahan bulan November hingga ke hujung tahun dan ini telah mengubah lanskap ladang sawit di sekitar KLIA menjadi lubuk Haruan!
Ladang sawit yang sebelum ini kering telah ditutupi dengan air yang melimpah dari rangkaian parit yang berhampiran. Parit yang selama ini ditutupi oleh tumbuhan akuatik sebenarnya menyembunyikan permata hanyir yang dikenali dengan gelaran “Si Kepala Ular”. Ikan Haruan yang selama ini ‘bertapa’ telah keluar bersama limpahan air parit yang membanjiri gugusan ladang sawit yang berkeluasan ratusan hektar.
CABARAN
Memancing di ladang sawit yang banjir agak mencabar. Bayangkan anda terpaksa meredah air separas lutut dan adakalanya separas pinggang di dalam ladang sawit yang luas. Anda juga harus tahu kedudukan parit yang telah ditenggelami air, kerana silap langkah akan terjerumus ke dalam parit yang dalam.
Anda juga harus bersedia dengan haiwan liar seperti ular dan biawak. Nyamuk juga sering menjadikan suasana kurang selesa terutama pada waktu lewat petang.
Kenderaan terbaik adalah motosikal, disarankan menggunakan tayar yang berbunga tebal supaya mendapat lebih cengkaman ketika menunggang di jalan yang berlumpur atau licin. Motosikal juga akan memudahkan pergerakan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
Ini kerana ada sesetengah lokasi mempunyai laluan yang kecil dan memerlukan anda meniti di atas jambatan yang kecil. Maka motosikal adalah pengangkutan yang terbaik apabila berdepan dengan situasi seperti ini.
SET IDEAL
Untuk memancing Haruan di ladang sawit yang telah ditengelami air anda memerlukan set-up peralatan pancing yang sesuai. Joran berkekuatan medium heavy, medium atau medium light adalah pilihan yang sesuai. Ini kerana anda harus memancing Haruan di kawasan yang dipenuhi rimbunan rumput dan pokok-pokok renek yang telah ditenggelami air.
Sebaik sahaja meragut umpan, ikan Haruan akan terus meluru ke celahan atau rimbunan pokok yang telah ditenggelami air. Peralatan memancing yang seimbang dengan kekuatan yang sesuai mampu menarik ikan ini keluar dari tempat persembunyiannya.
UMPAN YANG IDEAL
“Matching the hatch”, umpan terbaik untuk memancing Haruan ialah diet semulajadi di habitatnya di dalam parit yang ditutupi oleh tumbuhan akuatik. Apabila monsun tiba dengan episod hujan yang berterusan dan menyebabkan air parit melimpah membanjiri ladang sawit. Anda rasa apa yang ikan Haruan ini makan selama ini? Ya semestinya anak ikan, katak, cicak dan mungkin juga haiwan-haiwan kecil yang lain.
Oleh yang demikian saya telah memilih untuk menggunakan soft frog dan soft plastic yang menyerupai makanan utama Haruan iaitu katak dan cicak kecil dan ia hendaklah jenis weedless kerana mata kail umpan tiruan ini tersembunyi dan menghindari dari ianya tersangkut pada pokok atau rumput yang menjulur keluar dari permukaan air.
Saiz idaman, Haruan ini diperdaya dengan soft plastic yang dikarau perlahan-lahan.
Haruan saiz seperti ini kerap diperolehi di ladang sawit KLIA yang dilimpahi banjir.
Selepas hujan juga merupakan waktu terbaik untuk memburu Haruan di ladang sawit KLIA. Pastikan anda sentiasa bersedia dengan baju hujan, ini kerana hujan akan mencurah ke bumi pada bila-bila masa sahaja ketika musimnya.
Meranduk air hingga ke paras lutut adalah perkara biasa bagi memburu Haruan di ladang sawit KLIA ketika musim banjir.
Jangan hanya tertumpu pada kawasan yang tenggelami oleh banjir sahaja, Haruan yang bersaiz besar biasanya menjaga wilayahnya iaitu di tempat asalnya di parit yang sebelum ini ditutupi oleh tumbuhan akuatik.
WAKTU YANG SESUAI
Waktu yang terbaik adalah pada awal pagi, lewat petang atau malam hari. Namun saya lebih cenderung memancing pada awal pagi, ini kerana ikan sangat aktif ketika itu dan peratusan untuk strike adalah sangat tinggi. Pemancing lain juga jarang turun memancing pada awal pagi dan ini mengurangkan persaingan.
Sekiranya hujan berhenti pada awal petang, ini juga merupakan waktu yang sesuai untuk memancing Haruan. Biasanya makanan utama ikan ini iaitu katak agak aktif selepas hujan dan secara tidak langsung ikan Haruan juga turut aktif memburu mangsanya.
Waktu malam juga sangat sesuai untuk memancing Haruan, spesimen bersaiz besar lebih aktif pada waktu malam. Cuma jarak penglihatan kita menjadi terhad pada waktu malam dan juga atas faktor keselamatan dan disebabkan itulah saya jarang memancing Haruan di ladang sawit KLIA pada waktu malam.
MENGESAN HARUAN
Ini sesuatu yang agak sukar apabila anda ingin mengesan Haruan di ladang sawit yang terbentang luas dan telah dilimpahi air. Penglihatan juga terhad dengan deretan pokok sawit dan ada di antaranya pelepah sawit telah mencecah permukaan air.
Biasanya saya akan melakukan tinjauan terlebih dahulu, jika bernasib baik boleh dengar ikan Haruan menyambar mangsanya. Jika situasi seperti itu berlaku berhampiran dan di dalam jangkauan lontaran, saya akan melontar umpan tiruan di kawasan bunyi tadi dan karau gewang perlahan-lahan. Sekiranya memang rezeki, insya Allah, ikan akan menyambar.
Jika tiada sebarang tanda kewujudan haruan, teknik blind cast adalah pilihan terbaik. Namun umpan tiruan tidak dilontar secara semberono. Biasanya saya akan melontar umpan tiruan ke kawasan yang dirasakan berpotensi, contohnya di kawasan yang redup, di bawah pokok, di tebing parit atau di rimbunan rumput yang mempunyai kelopak kosong di tengahnya.
PINDAH LOKASI
Sekiranya tiada hasil dengan beberapa lontaran, saya akan berpindah ke lokasi lain. Sebab itu motosikal adalah pengangkutan yang paling sesuai. Ianya mudah ditunggang dalam kawasan ladang sawit serta mudah untuk diparkir dimana sahaja dan tidak memerlukan kawasan yang luas.
POTENSI SAIZ IDAMAN
Ikan Haruan yang dipancing ketika musim banjir di ladang sawit KLIA biasanya bersaiz lebih besar dari ikan Haruan yang dipancing pada waktu lain di ladang sawit yang sama. Ini disebabkan Haruan yang selama ini bertapa di dalam parit yang ditutupi tumbuhan akuatik telah keluar sebagai “monster” ketika banjir! — @Pancing
Pertanyaan: Rizal 012-644 2122