@Kayuh & Pancing
AFIF ZAINAL | apip.core2@gmail.com
Aktiviti Gabungan Hobi 2 Dalam 1
Perjalanan melalui jalan utama sebelum memasuki jalan kampung.
Memancing dan berbasikal adalah dua aktiviti yang menyeronokkan. Menunggang basikal untuk pergi memancing menjadikan aktiviti itu lebih mencabar daripada biasa. Kedua-duanya ada persamaan, satu kayuh pakai kaki dan satu lagi kayuh pakai tangan!
Jauh perjalanan, luas pemandangan.
Persediaan ringkas basikal yang saya gunakan.
“Saya petik sedikit kata-kata pengiat bike fishing Amerika Syarikat iaitu, Russ Roca dari The Path Less Pedaled, “Ride what/how you like, aero is not everything and have fun”. Mesej yang ringkas dan mudah difahami.”
Saya dan Tom telah dipelawa oleh Ayoi untuk mencuba memancing Haruan di tempatnya di Bagan Datuk, Perak. Bak kata orang, Haruan di sini memang sentiasa ada dan tidak pernah pupus!
Kalau diikutkan, ini adalah trip memancing berbasikal kami yang kedua. Trip yang pertama ialah di Empangan Klang Gate pada dua bulan yang lalu. Tapi apakan daya, kami kumpau. Jadi cerita penuhnya tidak cukup untuk saya kongsikan.
Disebabkan trip ini hanya memakan masa satu hari sahaja, kami memulakan kayuhan dari rumah Ayoi ke spot memancing Haruan yang terletak kira-kira 18.5km dari rumah beliau. Ini menjadikan jarak keseluruhan pergi dan balik sejauh 37km +- sahaja (Strava).
Kalau jumpa lubuk macam ni cast terus dari atas basikal je.
Spot pertama kami, kawasan sawit yang mempunyai lopak air besar
PILIH BASIKAL YANG SESUAI
Saya bukanlah pakar untuk menentukan kesesuaian jenis basikal. Menurut pandangan saya, basikal apa pun boleh digunakan kalau nak bawa pergi pancing. Janji boleh sampai ke tempat yang hendak dituju. Akan tetapi, “there is a right tool for the job”. Mesti ada basikal yang sesuai untuk aktiviti sebegini.
Basikal yang saya dan Tom gunakan ini dikenali sebagai touring bike atau gravel bike. Kami menggunakan basikal jenis ini kerana ianya lebih tahan untuk aktiviti pengembaraan. Lagipun ianya “lebih cocok dan kena jiwa”. Ada juga rakan- rakan saya yang mengubahsuai basikal MTB lama (26er) untuk melakukan ‘tugas’ yang sama.
Dengan adanya tambahan aksesori seperti bakul atau rack di bahagian hadapan atau belakang basikal, ianya lebih memudahkan untuk membawa barang-barang keperluan.
SPESIFIKASI BASIKAL
Terdapat perbezaan antara Bike Packing dan Bike Touring. Untuk lebih faham, anda boleh google di Wikipedia untuk semua maklumat yang lengkap. Kalau nak bercerita tentang pecahan jenis basikal ni memang panjang nak tulis.
Bahan frame basikal yang kami gunakan diperbuat daripada besi (chromoly). Sudah tentu ianya lebih berat jika dibandingkan dengan basikal lain yang diperbuat daripada carbon ataupun aluminium.
Walaupun besi, ada kelebihannya. Sekiranya anda travel ke tempat jauh dan jika frame basikal mengalami kerosakan atau patah, anda boleh pergi ke kedai welding berhampiran untuk baik pulih dan meneruskan perjalanan. Masuk akal bukan?
Selain itu, penggunaan tayar yang sedikit lebar dan tebal adalah lebih baik. Ini bagi mengelakkan tayar mudah bocor jika melalui permukaan jalan yang berbatu dan tajam. Tayar yang mempunyai struktur bunga yang kasar juga adalah digalakkan. Ini bertujuan untuk memberi lebih cengkaman jika melalui jalan berlumpur, menuruni atau menaiki tempat yang licin mahupun melalui jalan kelikir (gravel).
Untuk pacuan (drive train) pula, jumlah gear haruslah sesuai untuk setiap jenis jalan, sama ada jalan rata atau berbukit. Jika basikal anda penuh dengan barang camping seperti khemah, makanan dan sebagainya, gear rendah yang mencukupi perlu diambil kira.
Kebiasaannya berat keseluruhan penunggang, basikal dan barang-barang yang dibawa boleh mencecah lebih dari 100kg. Beratkan? Lagi-lagi bila naik bukit! Apapun ianya bergantung kepada laluan atau destinasi yang anda pilih dan berapa banyak barang yang ingin dibawa.
Jangan risau, kalau tak larat nak naik bukit dengan barang yang berat, turun basikal dan tolak je!
APA YANG KAMI BAWA
Disebabkan trip kami hanya pergi pagi dan balik petang, kami tidak membawa banyak barang. Antara barang yang kami bawa sudah tentulah set peralatan memancing yang minimal. Untuk joran, kami gunakan jenis travel (multi pieces dengan hard casing), kerana lebih mudah untuk diikat pada basikal. Penggunaan joran 1pc sememangnya tidak digalakkan.
Selain itu, kami juga membawa kerusi lipat, air yang secukupnya, cawan, dapur dan aksesori memasak yang kompak. Kalau dah biasa dengan aktiviti outdoor, mesti tahu barang apa yang nak dibawa.
Kesemua barang ini kami masukkan ke dalam beg yang diletakkan pada bakul di bahagian hadapan. Jika anda penggemar kopi, bawalah set peralatan memasak kopi sekali. Minum kopi di kawasan hutan/nature memang asyik. Tak percaya? Cubalah! Mana nak cari barang-barang ni? Online shopping je!
Saya hanya memakai pakaian biasa dan santai. Pelan-pelan kayuh!
Basket dan bag yang kami gunakan untuk letak barang dan handphone. Jenis waterproof lebih bagus.
(Kiri) Sambil-sambil pilih gewang, kita minum kopi dulu!
Lagi-lagi time hujan!
PEMAKAIAN
Saya petik sedikit kata-kata penggiat bike fishing Amerika Syarikat iaitu, Russ Roca dari The Path Less Pedaled, “Ride what/how you like, aero is not everything and have fun”. Mesej yang ringkas dan mudah difahami.
Jadinya, dari segi pemakaian baju
dan seluar pula, anda boleh pakai pakaian pancing yang biasa anda guna, sama ada T-shirt, quick-dry atau sebagainya. Saya lebih suka pakai T-shirt biasa dan seluar yang boleh stretch sahaja. Pada saya tiada pakaian khusus. Mix and match ikut apa yang anda suka dan pakailah kasut yang sesuai. Tepuk dada, tanya selera.
Basikal seperti ini hanya santai-santai, tidak direka untuk kelajuan. Kayuh pelan-pelan, janji sampai. Nikmatilah pemandangan yang menarik dan tinjau lokasi pancingan yang berpotensi dalam setiap kayuhan.
(Kiri) Spot untuk soft frog, kebanyakan Haruan lebih galak hentam gewang selepas hujan
Trip terdahulu di Klang Gate, dapat lepak menikmati keindahan alam macam ni pun dah kira bonus kalau tak dapat ikan!
PERANCANGAN & APLIKASI
Jika anda ada perancangan untuk pergi trip memancing sambil berbasikal yang lebih jauh. Rancanglah perjalanan anda sebaik-baiknya. Jaga keselamatan dan patuhi setiap undang-undang jalan raya. Bawalah peralatan seperti tiub spare, pam angin dan tools yang berkaitan. Paling penting, jaga etika anda sebagai cyclist. Ingat tu!
Antara aplikasi yang boleh digunakan untuk berbasikal adalah Strava dan Komoot. Strava dapat merekodkan segala maklumat jarak dan masa perjalanan. Lebih mudah untuk ulangkaji jika ingin perbaiki perjalanan yang lalu.
Manakala, Komoot pula adalah aplikasi perancangan laluan yang membantu mengumpulkan maklumat jalan. Ini termasuk untuk semua jenis kategori sukan seperti, road cycling, bike touring, gravel riding, hiking dan banyak lagi.
Selain itu, bolehlah bertanya kepada rakan-rakan cyclist lain yang lebih berpengalaman dengan jalan yang sudah biasa mereka lalui bagi memudahkan perjalanan.
KELEBIHAN MEMANCING BERBASIKAL
Saya percaya, masing-masing ada pengalaman sendiri tidak kira di waktu kecil, zaman remaja mahupun sekarang. Kegembiraan berbasikal ini lain orang, lain ceritanya.
Untuk memancing dan berbasikal ini, seronok pancing dapat, seronok kayuh basikal pun dapat. Dua dalam satu. Kalau dah rezeki, cast sambil duduk atas basikal pun boleh dapat ikan.
Selain menjadikan tubuh badan lebih sihat, dengan aktiviti seperti ini juga kita dapat mengurangkan stress. Perjalanan dan pengembaraan itu sendiri adalah terapi minda yang mendekatkan kita dengan keindahan alam semulajadi dan pencipta Nya.
Secara tidak langsung, dengan berbasikal juga dapat menyokong inisiatif Go Green iaitu memelihara alam sekitar dan mengurangkan penggunaan karbon di jalan raya.
JOM BIKE FISHING!
Berbasikal dan memancing di tempat yang lebih jauh dan menarik adalah salah satu daripada bucket list saya. Kerana setiap perjalanan dan pengembaraan itu sudah tentu memberikan pengalaman yang berbeza.
Semoga aktiviti seperti ini dapat dijadikan gaya hidup serta menarik minat kaki pancing yang meminati sukan berbasikal dan begitu juga sebaliknya. Fish hard and pedal safe!
— @Pancing