RAHSIA ‘SMARTFOOD’

KEMENANGAN beliau dalam rancangan realiti, MasterChef Malaysia membuka lembaran baharu dalam diari kariernya. Bukan hanya bergelar pelakon dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob kini dikenali sebagai seorang chef dan juga penasihat pemakanan.

Selain menjadi Chef Eksekutif di SukaSucre Bistro, Datuk Fazley kini sedang bergiat aktif untuk melebarkan lagi sayap perniagaanya menerusi penubuhan restoran serba mewah, Mamanda yang sudah pun memiliki dua cawangan iaitu di Kuala Lumpur dan juga di Singapura.

Tambah beliau, pada bulan Disember ini, restoran baharu, Bunga Telang by SukaSucre akan menemui rakyat Malaysia dengan hidangan sajian yang menarik. Restoran Bunga Telang by SukaSucre bakal beroperasi di Bukit Damansara.

“Selain daripada itu, saya juga menjadi jurucakap untuk hampir 12 produk termasuk lokal dan antarabangsa selain menggalas tugas konsultan chef. Mengenai bidang nyanyian, saya baharu sahaja melancarkan lagu terbaru, Wo Ai De Ni, di mana klip videonya diambil di Taiwan dan di Malaysia. Saya juga masih aktif dalam memberi motivasi dan juga bidang pengacaraan.”

Jelas beliau lagi, aplikasi permainan video atas talian, Chef Fazley Kitchen dalam proses untuk menambah baik struktur aplikasi itu untuk menjadi lebih menarik dan sesuai dengan perubahan trend pada hari ini.

Bergiat aktif untuk melebarkan lagi sayap perniagaanya menerusi penubuhan Restoran Bunga Telang by SukaSucre yang bakal beroperasi Disember ini.

 

SIHAT CARA DATO’ FAZLEY

“SAYA adalah seorang yang tidak begitu kerana saya percaya sumber suplemen boleh diperoleh daripada makanan yang saya ambil setiap hari. Apa yang penting, saya tidak mengambil gula dan juga sebarang makanan atau minuman yang mengandungi gula melainkan gula organik. Selain itu, jenis makanan yang saya ambil lebih tinggi protein dan rendah karbohidrat kerana saya percaya ia memberi lebih banyak manfaat pada tubuh. Saya juga mengurangkan pengambilan daging merah sebaliknya mengambil banyak daging putih,”katanya.

Tambah beliau, mengenai aktiviti senaman, beliau bukanlah seseorang yang gemar melakukan senaman di gim, tetapi lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti badminton, ping pong, muay thai, mendaki dan aktiviti lasak yang lain.

“Selalunya saya akan ada waktu-waktu yang dipanggil sebagai ‘cheat day’ atau ‘cheat week’. Sebagai contoh, jika saya menjaga pemakanan saya selama tiga minggu, jadi saya boleh makan apa sahaja untuk satu minggu seterusnya. Tetapi, saya akan kerap bermain badminton setiap hari selama 90 minit. Ini sudah menjadi rutin saya apabila melakukan ‘cheat weak’,” ujarnya.

RUTIN PEMAKANAN SIHAT

JADUAL yang padat tidak menghalang beliau untuk sentiasa kekal sihat dan aktif. Malah, seakan normal dan sudah biasa dengan kesibukan kerja. Bagi beliau, setiap orang harus bijak memilih untuk sentiasa sihat.

“Saya akan bangun seawal 6.30 pagi dan akan tidur agak lewat pada jam 1 atau 2 pagi. Kadang kala, waktu tidur saya kurang dari 8 jam. Untuk menambahkan tenaga saya, setiap kali bangun pagi, saya akan minum air teh hijau bersama lemon, 2 hingga 3 cawan sehari.

MAKANAN RINGAN

MENURUT Datuk Fazley, beliau juga tidak terkecuali dalam pengambilan makanan ringan, cuma mengehadkan kepada yang diluluskan oleh penasihat kesihatan sahaja.

“Selain dari tidak mengambil sebarang makanan yang mengandungi gula, saya juga tidak makan kerepek kentang sudah hampir 6 hingga 7 tahun tetapi saya menggantikannya dengan ‘almond chips’. Jadi inilah kesedaran yang patut ada pada seluruh rakyat Malaysia bahawa untuk menjadi sihat, kita harus bijak memilih menu makanan yang memberi kebaikan.

“Bagi saya makanan ‘fast food’ tidak memudaratkan tubuh jika kita bijak untuk mengekalkan kualitinya. Maksud saya, saya masih pergi ke KFC dan makan kulit ayam. Tetapi, saya tidak mengambil mashed potato, coleslaw dan juga sos kerana ia tidak sihat. Contohnya seperti sos, kandungan gulanya tinggi, dan juga mengandungi bahan tambahan yang lain. Sos yang saya ambil hanyalah mustard dan sos thai yang tidak mengandungi gula dan karbohidrat.

“Begitu juga jika saya makan Double Cheese Burger, saya tidak akan makan rotinya tetapi dagingnya sahaja. Dari segi minuman ringan pula, saya hanya mengambil Coke Zero dan Pepsi Max. Selalunya saya akan memeriksa satu persatu bahan yang terkandung dalam setiap barangan melalui senarai bahan di bahagian belakang setiap bungkusan produk untuk mengetahui tahap kualiti sesuatu produk itu. Tambah beliau, diet bukanlah alternatif terbaik untuk kekal sihat malah lebih kepada makan dengan cara yang lebih bijak untuk kekal sihat.

“Siapa yang boleh makan ‘green food’ untuk sepanj ang hayat mereka?, kreatif dan sediakanlah makanan yang lebih menarik!.

DUNIA MASAKAN

DARIPADA seorang penghibur kini menjadi seorang selebriti chef yang disegani, Datuk Fazley akur dan terima rezeki yang ditentukan ilahi ini.

“Keluarga saya kebanyakannya menceburi bidang masakan. Ibu saya seorang guru masakan dan bapa saya memiliki gerai makanan. Tetapi, sejujurnya, saya tidak pernah merancang untuk menceburkan diri dalam bidang masakan kerana saya tidak gemar memasak dan tidak suka ke dapur. Tambah beliau, menjuarai rancangan realiti MasterChef Malaysia mengubah perjalanan kariernya dan meneruskan pengajian di Le Cordon Bleu Paris dalam bidang kulinari.

“3 tahun saya berulang alik dari Malaysia ke Paris dan akhirnya selepas mendapat kelayakan, saya mengusahakan perniagaan Sukasucre Bistro.


SOALAN PANTAS BERSAMA DATUK FAZLEY

Menu yang Dato’ suka makan? Nasi Ayam Menu yang Dato’ suka masak? Apa-apa sahaja asalkan lemak cili api.
Berapa kali Dato’ masak dalam sehari? Lebih dari 5 kali.
Chef paling Dato’ minati? Chef Gordon Ramsay, Chef Jamie Oliver dan Chef Wan.
Apakah menu yang sedang Dato’ belajar? Masakan Thai.
Menu yang Dato’ hasilkan tetapi tidak menjadi? Pasta ketika di MasterChef Malaysia.
Jika diberi pilihan untuk bertanding sekali lagi di MasterChef Malaysia, apakah menu yang ingin Dato’ hasilkan? Daging Salai Wellington Lemak Cili Api.

MENU HARIAN DATUK FAZLEY

• SARAPAN PAGI – teh hijau bersama lemon dan sebiji epal atau semangkuk ‘smoothie’ daripada bahan berkhasiat seperti kacang almond, pisang dan lain-lain.
• MAKAN TENGAH HARI – Whole chicken bersama Basmati ataupun pasta/whipped salad dan juga satay (lebihkan daging satay dari kuah).
• MAKAN MALAM – Fried quinoa dan chicken thai bersama sambal ataupun sup cendawan
• Ayam atau kambing mandy bersama hummus.


SUKASUCRE BISTRO

SUKASUCRE Bistro sudah bertapak sejak 6 tahun lalu dan kini dalam proses mengembangkan lagi empayarnya dengan penubuhan jenama lain iaitu Mamanda Kuala Lumpur dan Singapura. “Jika tiada aral melintang, saya bakal membuka restoran baru iaitu Bunga Telang by SukaSucre pada Disember ini di Bukit Damansara.

SukaSucre Bistro telah mendapat lebih 25 anugerah dan diiktiraf sebagai salah satu restoran terbaik di Malaysia sebanyak dua kali.

SISI SEORANG PENGUSAHA

APABILA mendapat beberapa pengiktirafan, bukan mudah untuk mengekalkan kualiti produk. Bagi Datuk Fazley, semua pihak memainkan peranan penting dalam usaha untuk memberi yang terbaik. Sebagai seorang pengusaha bistro, konsep ‘The Customer is Always Right’ menjadi kunci dalam memastikan perniagaan berjalan dengan lancar dan baik.
“Setiap aduan pelanggan penting dan dianggap sebagai satu proses untuk maju kehadapan.”
Selain itu, konsep ‘turun padang’ sentiasa dipraktiskan oleh beliau untuk memastikan semua bahagian berjalan dengan lancar terutamanya bahagian dapur.
“Sebagai seorang ketua, saya akan ke semua bahagian dan melakukan tinjauan dan pemeriksaan sebagai alternatif mengurangkan kesilapan. CCTV yang dipasang di bistro boleh terus berhubung dengan telefon bimbit saya. Jadi ia memudahkan saya untuk mengawasi gerak-geri pekerja dan pelanggan. Saya juga turut membantu mereka membasuh pinggan dan memasak. Saya adalah ketua dan dalam masa yang sama saya juga adalah pekerja biasa.”

PERSPEKTIF KESIHATAN DI MALAYSIA

UMUM tahu, makanan sihat di Malaysia pada hari ini sukar untuk diakses oleh orang ramai kerana harganya yang mahal. Oleh kerana itu, makanan ringan menjadi pilihan kerana mudah dan murah.
Menurut Datuk Fazley, konsep makanan sihat harus diubah serta persepsi masyarakat mengenai makanan sihat juga perlu diubah.
“Untuk menjadi sihat, ia bukan hanya memfokuskan kepada makanan sihat malah sikap bijak dalam memilih makanan. Ubah gaya pemakanan harian kita kepada menu yang lebih bijak. Maksud saya, gantikan roti canai kepada capati untuk menu pagi. Namun, kita masih boleh mengambil roti canai untuk seminggu sekali. Bukankah cara penyediaan capati lebih sihat dari roti canai? Ini yang dimaksudkan dengan bijak untuk sihat.”

JANGAN TUNGGU SAKIT

DALAM masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa menjaga kesihatan diri adalah perkara yang wajib dilakukan setiap hari.
“Jangan tunggu sakit baru nak jaga kesihatan kerana harga perubatan jauh lebih mahal. Tuntasnya, obesiti bukanlah sebuah gaya hidup. Begitu juga dengan makan sihat. Tetapi jadikan makan secara bijak sebagai tabiat dan rutin harian anda.
”“Makan makanan yang di masak di rumah empat kali sebulan untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik. al-siha

 

Subscribe