PERJALANAN BERGELAR IBU

12 TAHUN menanti, bukan satu tempoh yang singkat, namun kecekalan hati dan
usaha yang tidak berbelah bagi penyanyi nombor satu Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa akhirnya terbalas dengan kelahiran puteri sulung mereka, Siti Aafiyah.

“Perasaan bergelar ibu sukar untuk digambarkan, betapa saya bersyukur dan gembira.
Inilah detik yang di nantikan apatah lagi dikurniakan cahayamata pada usia perkahwinan yang ke-12. Satu fasa baharu dalam hidup saya dan kini, Siti Aafi yah sudah berusia 6 bulan,” katanya.

Tambah beliau, detik dibawa masuk ke dewan pembedahan semasa ingin melahirkan
Aafi yah satu pengalaman yang agak mendebarkan, namun keadaan itu sedikit
sebanyak bertukar apabila ramai ahli keluarga dan sahabat handai datang ke hospital untuk memberikan sokongan.

“Ketika itu, saya cuma berharap agar proses bersalin lancar, selamat dan dipermudahkan. Walaupun ada sedikit komplikasi pendarahan selepas melahirkan Siti Aafi yah namun saya telah diberikan rawatan dan jagaan yang baik ketika itu,”katanya.

KRONOLOGI IVF

Datuk Seri Siti Nurhaliza telah melakukan IVF pada bulan Jun 2017 dan sebulan kemudian beliau disahkan hamil.

“Saya sendiri memang bertekad untuk mencuba IVF selepas beberapa tahun tidak hamil selepas berkahwin. Keinginan saya itu disokong baik oleh suami dan saya sudah menjalani proses IVF ini sebanyak 5 kali sejak 12 tahun lalu, dan saya berjaya hamil pada IVF kali ke-5,”katanya.

Menurutnya, perjalanan IVF memerlukan kesabaran yang sangat tinggi dan beliau akui banyak berkorban untuk memastikan kejayaan rawatan tersebut.

“Sedari awal, bermula dengan proses kematangan telur, pengambilan telur, pembuahan sel telur dan akhirnya pemindahan telur ke dalam rahim. Saya dinasihatkan untuk berbaring dan tidak banyak bergerak. Hampir sebulan menunggu akhirnya saya disahkan hamil.

“Saya hanya menghabiskan masa di rumah, berehat untuk menjaga kehamilan. Hampir
tiga bulan berbaring dan tidak melakukan apa apa termasuk terpaksa melupakan seketika kerjaya sebagai artis dan usahawan.

“Saya sangat bertuah kerana suami dan keluarga sangat memberi sokongan sepanjang proses melakukan IVF, bahkan dijaga dan diberi perhatian dengan sangat baik. Inilah sumber kekuatan saya sebenarnya,”katanya.

Tambahnya, sekarang sudah ramai yang mengambil tahu tentang rawatan IVF dan sudah banyak hospital yang menyediakan rawatan ini,” katanya.

CABARAN YANG DITEMPUHI

Tidak mudah melalui proses yang ‘fragile’ ini kerana semuanya mesti dilakukan dengan berhati-hati.

“Bila saya bergerak, berjalan atau mahu batuk sekalipun, saya perlu melakukannya secara perlahan-lahan,” katanya.

Menurut Datuk Seri Siti Nurhaliza, ramai wanita yang belum mendapat zuriat tahu tentang kaedah IVF cuma pengetahuan mengenainya belum menyeluruh dan beliau tidak menolak bahawa kos yang tinggi antara kekangan yang dialami ramai pasangan.

PELAN KARIER DAN AAFIYAH

Ujarnya, karier seninya akan lebih aktif bermula bulan September kerana Siti Aafiyah sudah berusia 6 bulan.

“Saya juga akan keluar dengan single terbaru berjudul Anta Permana dan akan memulakan promosinya nanti.

Ditanya mengenai pelan masa hadapan Aafiyah, jelas Datuk Seri Siti Nurhaliza, pastinya beliau dan suami merancang didikan yang baik, menyediakan keperluan dan juga jaminan masa depan buatnya.

“Aafiyah sekarang masih kecil dan biarlah proses pembesarannya berjalan seperti biasa.

NASIHAT

Jelasnya, bagi pasangan yang sedang berusaha, jangan takut, malu atau risau untuk menemui doktor dan mendapatkan nasihat kerana proses ini akan dapat dijalankan dengan baik sekiranya setiap pasangan bersedia untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor dan mengetahui cara terbaik untuk menjalaninya.

“Jangan putus asa jika belum dikurniakan cahayamata kerana pasti ada jalan ke arah itu,” katanya.

Tambah beliau, di samping berusaha, setiap pasangan yang telah melakukan IVF juga perlu menerima kenyataan sekiranya IVF yang dilakukan masih belum berhasil, kerana beliau sendiri telah mencuba beberapa kali.

“Jangan berputus asa dan terus berusaha. Saya akui, kepakaran doktor kita hari ini semakin berkembang dengan teknologi terkini termasuklah teknologi dalam rawatan IVF ini.

BUKA PUSAT RAWATAN IVF SENDIRI

Pada masa sama, beliau turut berkongsi bahawa dirinya dalam proses untuk membuka pusat rawatan kesuburan IVF di bawah Yayasan Nur Jiwa.

Pusat rawatan ini akan beroperasi dengan kerjasama pakar kesuburan Alpha Fertility Centre, Dato’ Dr Collin Lee Soon Soo yang membantunya menjalani proses IVF.

“Pusat rawatan ini untuk memberi peluang kepada wanita yang mengalami nasib seperti saya mencuba rawatan ini pada kadar termampu.

Walau bagaimanapun, perancangan ini masih dalam proses perlaksanaan dan dijangka dibuka pada awal tahun depan,” katanya. X

Subscribe