‘Moodigo’ pantau kesihatan mental

PFIZER Malaysia melancarkan ‘Moodigo’, aplikasi baharu untuk telefon pintar yang membenarkan pengguna yang mengalami kemurungan untuk mendapatkan bantuan profesional.

Kemurungan adalah salah satu gangguan kesihatan mental yang paling lazim di Malaysia, dan dihidapi oleh kira-kira 2.3 juta rakyat Malaysia, tanpa mengira usia.

Menjelang tahun 2020, penyakit jiwa dijangka akan menjadi masalah kesihatan yang kedua terbesar menjejaskan rakyat Malaysia selepas penyakit jantung. Naib Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria berkata kemurungan boleh menyebabkan penyeksaan jiwa dan mengganggu keupayaan seseorang melakukan tugasan seharian.

“Mereka yang mengalami kemurungan akan berasa terasing dan ini akan mengubah segala aspek kehidupannya,” jelas Dr Hazli.

Tambah beliau, jika tidak dikenal pasti dan dirawat pada peringkat awal, masalah ini boleh membawa padah dan mendorong tindakan negatif. Jelasnya, penyakit seperti ini sebenarnya boleh dirawat dengan ubat dan kombinasi terapi. Aplikasi ‘Moodigo’ dilancarkan sempena kempen kesedaran awam #everybodyisatrisk di seluruh negara yang dipimpin oleh Pfizer dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), serta beberapa institusi pengajian tinggi.

Kempen kesihatan mental ini merangkumi forum awam, bengkel latihan, pertunjukan jalanan dan buku panduan ‘Talk Depression’ yang disusun khas untuk menyampaikan pengetahuan yang penting tentang kemurungan. Kempen ini juga bertujuan melenyapkan anggapan karut dan salah faham tentang gangguan mental, di samping menghapuskan keaiban yang masih ada dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Profesor Madya Ng Chong Guan berkata, kemurungan boleh dicegah dan dirawat.

“Melalui kempen #everybodyisatrisk, kami berhasrat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit jiwa dan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengenali gangguan mental pada peringkat awal dan mendapatkan rawatan yang betul,” katanya.

Memandangkan kes kemurungan bertambah dengan banyak dan teruk, aplikasi telefon pintar seperti Moodigo menawarkan cara yang baharu dan menarik untuk membantu rakyat Malaysia meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental.

Menurut Noor Yang Azwar Kamarudin, Pengarah Hal Ehwal Korporat, Kesihatan dan Nilai Pfizer Malaysia, Pfizer bermatlamat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengenal pasti simptom awal kemurungan dengan meningkatkan kesedaran tentang emosi diri melalui ciri penjejakan angin Moodigo dan memudahkan komunikasi dengan doktor.

“Dengan menggunakan aplikasi Moodigo, pengguna dapat memasukkan maklumat mengenai keadaan masing-masing dan menjejaki aktiviti harian lain yang rutin, seperti waktu yang diambil untuk tidur dan bersenam. Yang paling penting, aplikasi ini memberikan beberapa petua yang berguna tentang cara menjaga kesihatan mental dan menyediakan pautan untuk mendapatkan bantuan pakar seandainya timbul keperluan,” katanya.

“Kemurungan seringkali terlepas daripada pandangan ataupun tidak dirawat kerana pesakitnya enggan berbincang mengenainya. Pfizer berharap mereka dapat memulakan perbualan mengenai penyakit jiwa di Malaysia melalui program komuniti seperti forum awam dan bengkel. Kami mahu memperlengkap lebih ramai rakyat Malaysia supaya dapat menghadapi tekanan jiwa dan percanggahan dengan lebih baik, kerana ini sebahagian daripada kehidupan sehari-hari,” kata Noor Yang Azwar.

Aplikasi mudah alih Moodigo oleh Pfizer direka supaya menepati jadual pengguna yang sibuk dan gaya hidup mereka yang cergas. Aplikasi ini menggunakan antara muka yang ringkas dan mudah dipakai, berserta ciri-ciri yang boleh disesuaikan. Aplikasi ini juga mengandungi beberapa ciri ringkas yang memanfaatkan prinsip-prinsip yang terbaik untuk menguruskan kemurungan.

Aplikasi Moodigo boleh dimuat turun secara percuma ke iPhone menerusi (Apple App Store) dan Android menerusi (Google Play Store). – Al-Siha


Perbincangan panel mengenai “Hidup dengan Kemurungan: Penyakit yang Disalah Anggap dan Didiskriminasi”. (Dari Kiri) Dr Hazli Zakaria, Naib Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Profesor Madya Dr Ng Chong Guan, Naib Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), bekas pesakit iaitu Lim Chae Hong, dan Belinda Chee, selaku moderator acara.

 

Ciri ringkas menguruskan kemurungan 

MENETAPKAN MATLAMAT: Boleh menetapkan matlamat yang khusus dan boleh dicapai, berserta langkah-langkah tindakan yang jelas untuk membantu pesakit mencapainya. Matlamat boleh ditentukan bagi satu kategori atau lebih, termasuklah kategori kerja, rumah dan keluarga, atau aktiviti sosial. Matlamat ini boleh diubah selepas beberapa lama dan ditukarkan kepada tabiat yang membantu, sebagai rutin yang berterusan.

MENJEJAKI ANGIN: Suatu skala yang ringkas membenarkan pesakit menjejaki perasaan dirinya mengikut kesesuaian waktu masing-masing, sama ada beberapa kali sehari ataupun sekali-sekala sahaja. Alat penjejak angin ini penting untuk meningkatkan kesedaran pesakit tentang emosi dirinya. Menjejaki angin melalui aplikasi mudah alih juga membolehkan laporan dibuat pada masa nyata, dan ini memudahkan pola jangka panjang dikenal pasti.

MENYIARKAN ANGIN: Peluang untuk pengguna menyiarkan angin melalui ciri pelakaran MoodPic.

PETUA & DIREKTORI KESIHATAN MENTAL: Petua menangani tekanan jiwa dan mencapai kehidupan yang lebih seimbang dengan menggunakan senarai tugas serta direktori pakar kesihatan mental tempatan

 

Subscribe