20 pejuang obesiti

 


“SAYA hanya mengamalkan pengambilan oat pada waktu pagi dan malam selain ke gimnasium dan mengikut pelan pemakanan yang betul daripada jurulatih. Hasilnya saya hilang sebanyak 96 kilogram dalam masa 5 tahun. Semuanya bermula dari diri sendiri, jika saya boleh, anda juga pasti boleh!”.

IZZAT ZIN
Jurulatih Kecergasan dan Zumba
Berat dahulu: 140kg | Berat sekarang: 84kg

 


“SANGAT susah mencari baju yang sesuai, bahkan pergerakan juga sangat terbatas. Saya mengambil keputusan untuk berubah dengan menyertai program JK1M, dibawah bimbingan jurulatih Hisyamuddin Siddiq. Akhirnya saya hilang 70 kilogram tanpa sebarang suplemen. Tiada yang mustahil, jangan mengalah dan usaha selagi kita belum sampai ke penamat”.

MUHAMAD HAIZAD ZOLPANI
Kakitangan Kerajaan
Berat dahulu: 150kg | Berat sekarang: 80 kg

 


“SAYA juga selalu menjadi bahan ejekkan kawan-kawan. Terutamanya ketika naik kenderaan awam. Gemuk, berbau, pingul besar, dan budak duduk dua kerusi, ini gelaran yang diberikan. Kesannya, saya menjadi kurang yakin dan tidak bergaul. Penyakit pula datang satu persatu. Saya menyertai program JK1M selama enam mingu dan belajar tentang senaman dan pemakanan. Saya kerap ke gimnasium dan melakukan senaman kardio hampir setahun. Kesannya, saya hilang 30 kilogram dalam masa 15 bulan”.

MUHAMMAD RAMDAN A. BAKAR
Eksekutif Jualan
Berat dahulu: 125 kg | Berat sekarang: 80kg

 


“WALAPUN saya sudah berjaya menurunkan 31 kg dalam masa enam bulan, tetapi saya belum mencapai berat badan yang ideal dan masih berusaha. Apabila berat badan berkurang, pergerakan menjadi lebih mudah dan saya bebas melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, bersukan dan membawa anak-anak beriadah. Sekurangkurangnya tiga kali seminggu. Diet yang sihat, adalah diet yang istiqomah”.

MOHAMAD AZIZI ABDUL RAHMAN
Pembantu Tadbir di Padiberas Nasional Berhad (BERNAS)
Berat dahulu: 133.5kg | Berat sekarang: 102.5kg

 


“KALAU berkawan dengan Anum, pastinya kita akan gemuk juga. Ini ejekan yang tidak akan saya lupakan. Malu sungguh waktu itu dan saya tekad untuk berubah. Saya menyertai program Jom Kurus 1 Malaysia (JK1M) dan juga aktiviti berbasikal (RPM) dan berjaya hilang 30 kilogram dalam masa 6 bulan. Tetapkan matlamat dan teruskan usaha mencari jalan untuk berubah”.

AZIZATIL ANUM OMAR
Eksekutif IT dan Jurulatih Aerobik
Berat dahulu: 110kg | Berat sekarang: 80kg

 


“SAYA dihina dan digelar ‘hyppo’ oleh rakan-rakan dan saudara-mara. Namun, kritikan dan penghinaan saya jadikan motivasi untuk hilangkan berat badan sebanyak 52 kilogram setakat ini. Kawal cara makan dan sentiasa lakukan senaman serta merujuk pada yang pakar bagi mengelakkan kesalahan. Untuk kesan yang lebih efektif, lakukan senaman secara beramai-ramai supaya sentiasa bersemangat. Jika mahu diet, mental harus kuat”.

MOHD HAIRI JAMALUDDIN
Penyelia Tapak Elektrik
Berat dahulu: 160kg | Berat sekarang: 108kg

 


“DULU lebih kepada ‘tak kisah’. Bagi saya, alang-alang dah besar, biarkan sahaja. Bagi saya, memiliki saiz badan yang besar ada kelebihannya, walhal banyak masalah pula. Antaranya, ketika menaiki pengangkutan awam seperti LRT. Kerusi yang ada sangat kecil untuk saya dan terpaksa duduk melebihi orang biasa. Saya juga mengalami kesukaran bernafas ketika tidur. “Kalau hendak melihat anak membesar, kurangkanlah berat badan,” kata-kata doktor ini mengubah segalanya dan saya tekad untuk menjadi ayah yang lebih sihat, cergas serta menjadi contoh kepada anak-anak. Saya berjaya kurangkan 107 kilogram dalam masa 3 tahun”.

SYED MUSTAQIM SYED YUSOFF
Syarikat IT
Berat dahulu: 191kg | Berat sekarang: 84kg

 


“SAYA memang tidak mengamalkan sebarang suplemen kerana saya menghidap hipertensi dan diabetes. Jadi, saya hanya menjaga kualiti senaman dan mengawal pemakanan. Pada awalnya, saya tidak mengambil nasi, roti, mee dan gula. Saya lebihkan pengambilan buah-buahan sebagai snek. Hingga ke hari ini, saya masih mengawal kadar gula dan garam dan kurang mengambil makanan segera dan yang diproses”.

JAMUSYAHIDA MOHAMMAD
Pembantu IT di DHL IT Services Cyberjaya
Berat dahulu: 125kg| Berat sekarang: 78kg

 


“SELALU migrain dan disahkan tekanan darah saya tinggi iaitu 170/100. Perkara ini membuat saya tersentak dan mula memikirkan nasib anak-anak sekiranya berlaku apa-apa kepada saya. Saya dinasihati doktor supaya menurunkan berat badan dan mengamalkan hidup sihat. Sejak januari 2017 hingga sekarang saya hilang 32 kilogram. Masalah sakit lutut yang dialami membuatkan saya lebih bersemangat untuk kurus”.

WAN NURAZLEENA BT WAN MOHAMAD NAWAWI
Cheras, Eksekutif Senior
Berat dahulu: 85kg| Berat sekarang: 53kg

 


“MUNGKIN cerita saya sedikit berbeza daripada mereka yang pernah menurunkan badan. Benarlah kata orang, perjalanan hidup ini seperti ombak di lautan, ada pasang surutnya. Pernah mempunyai berat badan 220 kilogram pada awal Januari 2014, dan dengan bersenam, mengawal pemakanan dan menyertai program JK1M, saya berjaya turun sebanyak 95 kilogram pada Jun 2015. Namun, dek mengidam kek setiap hari, berat saya kemudian meningkat sebanyak 135 kilogram. Pengalaman lampau menyedarkan saya untuk kembali aktif bersenam dan mengawal pemakanan, terutamanya pengambilan gula. Kini saya 120 kg dan bagi saya 120 kg hari ini adalah lebih baik dari 120 kg yang dahulu kerana badan saya sudah mula berotot dan lebih tegap. Kesilapan adalah pengajaran paling terbaik. Apa yang penting, jangan kembali kepada berat asal”.

MUHAMMAD AIZAT ABDUL RAZAK
Perunding Perniagaan di Startlah Innovation PLT
Berat dahulu: 220kg | Berat sekarang: 120kg

 


“AKTIVITI ekstrem seperti flying fox, hiking dan sebagainya sememangnya aktiviti agak terhad bagi sesiapa sahaja yang berbadan besar. Malah emosi juga mudah terganggu. ‘Bambam’, inilah gelaran yang diberi oleh rakan sebaya. Meskipun sibuk bekerja, saya cuba melakukan senaman ringan seperti bangun dan duduk dari kerusi. Jogging sudah menjadi hobi di waktu pagi dan petang. Setiap hari sekurang-kurangnya 10,000 langkah. Saya juga melakukan senaman kardio seperti jumping jack, burpees, high knee dan sebagainya. Nasihat saya jangan berputus asa kerana, nak gemuk pun ambil masa bertahun, apatah lagi nak kurus. Abaikan kata-kata orang sekeliling dan buktikan yang anda boleh”.

NUR HIDAYAH KAMARUDDIN
Jurulatih kecergasan, National Association for
Strength and Conditioning Research (NASC)
Berat dahulu: 125 KG | Berat sekarang: 65 KG

 


“SAYA suka makan dan sanggup ‘travel’ jauh semata-mata untuk merasa variasi makanan. Sehingga satu ketika, saya sedih dengan saiz badan kerana sukar mencari pakaian dan perlu menempah atau mendapatkannya di kedai khas. Satu kejadian memalukan hujung Disember 2015 mengubah hidup saya. Sofa yang saya duduk dalam satu majlis patah teruk dan saya jatuh terduduk di hadapan lebih 50 orang tetamu. Malu dan hampir menangis waktu itu kerana mereka ketawa dan saya dijadikan bahan lawak. Bermula daripada hari itu, saya tekad untuk berubah dan hilang 118kg”.

NURAZWAN MOHAMAD NOOR
Pegawai Eksekutif, LHDN
Berat dahulu: 212kg | Berat sekarang: 94kg

 


“SAYA memang kuat makan sejak keciL. Obesiti membuat saya kurang yakin, pemalu bahkan turut mengalami masalah sesak nafas selain kualiti tidur yang teruk sehingga satu tahap saya terpaksa tidur bersama mesin ‘BiPAP’. Saya mengambil keputusan untuk berubah pada Oktober 2016 dengan menyertai program wow yang dianjurkan oleh Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL ). Dalam masa satu bulan saya hilang 8kg, kemudian 7kg pada bulan berikutnya dan pada April 2017 saya hilang keseluruhan 52kg. Saya bermula dengan senaman ringan dan treadmill 300 langkah sehari, itu sahaja yang saya boleh lakukan sebagai permulaan atau sekurangnya 15 minit setiap hari. Dalam masa 9 bulan 75kg berjaya dikurangkan seterusnya dalam 15 bulan saya hilang 100kg. Dan sekarang berat saya 107kg dan masih meneruskan usaha untuk kurus”.

MAJDI MOHAMED ANUAR
Kakitangan PHKL
Berat dahulu : 212kg | Berat Sekarang : 107kg

 


“DULU berat saya 150kg, obesiti mengundang pelbagai masalah kesihatan lain termasuk gout. Saya juga selalu di buli oleh kawan-kawan. Suatu hari saya tekad untuk kurus bermula dengan mengawal pemakanan dan melakukan aktiviti jalan kaki setiap petang. Saya turut melakukan senaman kardio dan hasilnya saya hilang 62 kilogram dalam masa 11 bulan. Kena ada rasa seronok dalam proses menurunkan berat badan. Sertai kumpulan yang sama matlamat agar kejayaan dapat dicapai.”.

MOHD FIRDAUS MOHD SAHIR
Pengarah Fattofit Malaysia
Berat dahulu: 150kg | Berat Sekarang: 88kg

 


“DARI zaman sekolah menengah saya mempunyai berat badan yang berlebihan. Kemudian berat naik ketika saya sambung pengajian di peringkat Diploma dan seterusnya di peringkat Ijazah. Ahli keluarga saya besar-besar belaka lalu obes dijadikan dek keturunan. Pergerakan terbatas, aktiviti yang terhad, mudah penat dan mengalami tekanan darah dan kandungan gula yang tinggi. Pada tanggal 2 Februari 2015 ketika berusia 23 tahun saya tekad untuk berubah. Saya mula secara berperingkat dengan menghadkan pengambilan air manis kemudian kurangkan nasi dan ia dilakukan secara konsisten, sabar dan penuh disiplin. Saya juga berjalan kaki sekurang-kurangnya 20 minit sehari. Selepas berat berkurang ke 98kg saya mulakan senaman kardio. Hasilnya saya hilang 40kg”.

MOHD ARIF AFIFI MOHAMAD SUKRI
Jurulatih kecergasan
Berat dahulu: 125kg | Berat Sekarang: 85kg

 


“SAYA mula berazam untuk mengurangkan berat badan setelah bercerai pada tahun 2016. Saya teringin untuk bersenam tetapi ketika berat 105KG saya tak mampu untuk bergerak aktif jadi saya berdisplin jaga pemakanan selama 3 bulan sehinggalah saya dah berjaya mengurangkan 10KG. Saya amalkan kurang ambil nasi putih, kurangkan gula dan garam serta minum air masak 2-3 liter sehari. Kemudian barulah saya perlahan-lahan bersenam dari lompat tali (Jump Rope), acara larian marathon sehinggalah kepada acara larian denai (Trail Run). Saya dapati untuk kurus bukanlah satu perancangan jangka pendek tetapi adalah gaya hidup yang berterusan. Sekarang saya mengekalkan pemakanan sihat dan masih mengadakan aktiviti sukan. Keseluruhannya dalam tempoh setahun, saya dah berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 30KG”.

MOHD ZARIN ABDUL KARIM
Berat dahulu: 105kg | Berat sekarang: 75kg

 


“MEMILIKI berat badan 80kg membuat saya cepat penat dan malas bergerak. Dek suka mengambil makanan berminyak dan berlemak, berat badan memang boleh naik mendadak. Selepas menyertai program wow PHKL, saya memilih pemakanan lebih sihat antaranya makanan yang di kukus, atau sup. Saya juga melakukan Zumba dan membuat latihan kardio di gimnasium dan setiap kali hujung minggu saya akan keluar jogging dan aktiviti ini saya teruskan sehingga ke hari ini dan hasilnya saya hilang 16kg dalam masa 6 bulan”.

SITI ZAINAH
Kakitangan PHKL
Berat dahulu: 80kg | Berat Sekarang: 64kg

 


“SAYA ibu kepada tiga orang anak. Berat dari melahirkan anak kedua (2012) 74- 76kilo. Alasan makan nasi 2 pinggan sebab menyusukan anak. Sampai satu tahap, badan rasa tak sihat, lutut sakit nak solat, saya jadi ibu yang tidak aktif & kurang yakin dengan diri sendiri. Saya join Program Power Fit Malaysia pada Julai 2018. Ada jurulatih yang ajar ilmu pemakanan yang betul. Alhamdulillah, dari berat 74kg, turun kepada 56kg dalam masa 4 bulan. 80% pemakanan, 20% senaman ringan. Sekarang masih mengamalkan pemakanan sihat, kurus tu bonus!

NUR KAMALIA MOHAMMAD
Suri Rumah
Berat dahulu: 74kg | Berat sekarang: 56kg

 


“30 TAHUN saya obesiti, tetapi saya telah buktikan dengan kejayaan turunkan berat dari 183kg ke 78kg. Pelbagai cabaran terpaksa dilalui, baik dari penghinaan, kejian, ejekan dan banyak lagi. Saya mengamalkan diet low calories disamping membuat senaman berbasikal MTB , berjoging, hicking dan latihan di gymnasium, tidak mengambil produk pelangsingan. Formulanya hanya semangat dan tekad untuk berubah. Hari ini saya tiada lagi masalah tidur berdengkur, saya mampu berlari, kayuh basikal berpuluh kilometer dan lebih berkeyakinan tinggi”.

JAZLI HASSAN
Jurulatih Kecergasan
Berat dahulu: 183kg | Berat Sekarang: 78kg

 


“MASA belajar dulu berat 128kg. Pernah juga diet dan dapat turun sampai 114kg. Masuk kerja 2011 dah lupa nak diet kononnya tekanan dengan kerja. Sampailah tahun 2016 rupanya berat dah cecah 150kg. Saya masuk weight loss challenge team coach fridajeb. Dari sini saya tahu tentang diet seimbang, dan belajar bersenam. Dalam group belajar tentang pemakanan dan juga senaman( walhal saya patut lebih tahu tentang pemakanan sihat sebab saya nurse). Masak meal prep makan sihat dan tapau ke hospital kerana kerja di ICU susah nak keluar dan banyak double shift. Sekarang masih dalam proses untuk dapatkan berat normal, BMI normal”.

NORHIDAYAH
Jururawat
Berat dahulu: 150kg | Berat Sekarang: 90kg

 

 


Senaman TABATA jimat masa

BERSENAM intense selama 20 saat, rehat selama 10 saat dan ulang sehingga 8 pusingan. Satu senaman tabata mengambil masa 4 minit. Kajian mendapati 15 minit HIIT bakar lebih kalori dari jogging di treadmill selama satu jam.

Menurut Pengarah FattoFITT, apa yang membezakan tabata dan senaman yang lain adalah, waktu senaman yang pendek. Peningkatan kapasiti aerobik dan juga anaerobic. Pembakaran kalori semasa rehat (After-Burn Effect) hasil dari peningkatan metabolisma pada badan dan mampu membina jisim otot. Tabata bagus untuk mereka yang kesuntukkan masa untuk bersenam.

Tempoh yang disarankan untuk senama ini adalah 5 minit warm-up, 20 minit tabata, 5 set senaman tabata dan 10 minit cool down.

Kalori yang dapat di bakar melalui senaman tabata adalah 15 kalori dalam 1 minit. Berapa kilogram yang boleh turun dengan TABATA bergantung kepada kalori deficit yang di hasilkan dari permakanan dan juga senaman.

Untuk mengurangkan berat badan, anda perlu belajar cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat. 80% dari permakanan dan juga 20% dari senaman. Lakukan senaman mengikut peringkat. Mungkin boleh bermula dengan berjalan kaki atau menaiki basikal (kurang beban) sebelum melakukan senaman tabata. Tingkatkan stamina terlebih dahulu sebelum melakukan senaman-senaman yang memiliki daya usaha yang tinggi. – al-Siha


 

 

Subscribe