Obesiti punca masalah jantung dan paru-paru

OBESITI DIKALANGAN KANAK-KANAK 

STATISTIK Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kolej Imperial London mencatatkan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat dari kurang 1%, atau kira-kira lima juta kanak-kanak perempuan dan enam juta kanak-kanak lelaki pada tahun 1975 meningkat kepada hampir 6% bagi kanak-kanak perempuan (50 juta) dan hampir lapan peratus bagi kanak-kanak lelaki (74 juta) pada tahun 2016.

Menurut Pakar Pemakanan, Prince Court Medical Centre, Mushidah Zakiah, antara punca-punca yang menyebabkan kanak-kanak menjadi obes kerana pemakanan yang tinggi kalori terutama dari sumber lemak dan gula, kurang aktiviti fizikal, gaya hidup keluarga yang tidak sihat dan masalah kesihatan yang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah menjadi obes.

“Cara terbaik untuk menghalang kanak-kanak dari obesiti adalah dengan mendidik ibu bapa tentang diet yang sihat bermula dari dalam kandungan”, katanya.

Tambah beliau, kanak-kanak yang didapati obes biasanya akan dirujuk kepada pakar pemakanan bagi membantu mengurangkan berat badan atau melambatkan proses kenaikan berat badan. Selain itu juga, pelan pemakanan perlulah seimbang dan mengikut keperluan kalori harian kanak kanak mengikut umur seperti berikut:-

 

OBESITI DI KALANGAN DEWASA 

Punca obes di kalangan orang dewasa adalah sama seperti kanak-kanak. Bacaan BMI melebih 30 kg/m2.

Berdasarkan rekod kajian daripada National Health and Morbidity Surbey II (NHMS II) pada tahun 1996, sebanyak 4.0% kaum lelaki dan 7.6% kaum wanita memiliki bacaan BMI lebih dari 30kg/ m2. Namun, sehingga tahun 2011, peningkatan berlaku dan berdasarkan rekod NHMS 2011, kaum lelaki bertambah menjadi 12.7% dan kaum wanita meningkat kepada 17.6%.

Menurut Mushidah, hasil kajian yang dilakukan secara konsisten membuktikan bahawa lebih ramai wanita yang obes berbanding lelaki tetapi lebih ramai lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan berbanding wanita. Meskipun begitu, peratusan masih menunjukkan kadar peningkatan yang agresif.

“Secara amnya, obesiti boleh menjejaskan kesihatan kepada semua, sama ada lelaki atau perempuan. Mereka berpotensi untuk diserang penyakit jantung, diabetes dan juga masalah kesuburan. Lelaki yang obes berisiko tinggi untuk mempunyai kualiti sperma yang kurang baik berbanding lelaki yang mempunyai berat badan normal. Obesiti mengurangkan kadar kesuburan akibat daripada kurangnya hormon testosterone dan juga berisiko tinggi untuk mendapat Erectile Dysfunction (ED), mati pucuk. Seperti juga kaum lelaki, wanita juga berisiko tinggi untuk mendapat penyakit berkaitan hormon termasuklah masalah kesuburan sekiranya mempunyai berat badan yang berlebihan”.

PEMAKANAN 

FAKTOR pemakanan menyumbang sebanyak 80% kepada penurunan berat badan seseorang. Bagi penghidap obesiti, pelan pemakanan yang rendah kalori sama ada 1200kcal atau 1500 kcal seharian adalah ideal.

“Makanan yang berminyak akan menyumbangkan kalori yang tinggi dan menyebabkan kesukaran untuk mengawal berat badan. Malangnya, makanan seperti ini sangat banyak dijual di merata-rata tempat. Penjualan makanan seperti ini semakin banyak disebabkan permintaan yang semakin tinggi. Sekiranya masyarakat sedar mengenai kesan makanan seperti ini terhadap kesihatan, mungkin permintaan akan berkurangan, namun, ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat,” jelas Mushidah.

RAWATAN OBESITI 

Pelbagai cara rawatan yang boleh dilakukan untuk menurunkan berat badan dan obesiti. Selain dari perubahan gaya hidup yang lebih sihat dan berkualiti melalui diet dan senaman, pakar turut menyarankan kaedah Farmakologi iaitu rawatan secara pengambilan ubat-ubatan atas nasihat doktor dan juga pemantauan rapi dari pihak hospital. Namun, sekiranya seseorang itu sudah berada dalam tahap obesiti jenis Morbid, mereka dinasihatkan untuk melakukan pembedahan Bariatrik.

Jelas Mushidah, pembedahan Bariatrik adalah jauh berbeza daripada pembedahan pembuangan lemak. Bagi pembedahan untuk membuang lemak, ia adalah sejenis rawatan kosmetik yang tidak disarankan untuk penghidap obesiti kerana ia bukanlah bersifat kekal. Namun, pembedahan ini sesuai dilakukan bagi mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan. – al-Siha


LANGKAH KURANGKAN BERAT BADAN 

  • Kenal pasti keperluan kalori harian.
  • Ambil kalori lebih rendah dari kalori yang digunakan.
  • Amalkan diet yang seimbang .
  • Elakkan mencuba diet yang ekstrim.
  • Rancang menu makanan anda untuk seminggu.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang berlemak dan bergula.
  • Lakukan aktiviti fizikal setiap hari sekurang kurangnya 30 minit.

 

MENURUT kajian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), peningkatan morbiditi dan mortaliti penyakit tidak berjangkit yang berpunca dari obesiti menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia. Malah, masalah obesiti dan berat badan berlebihan menjadi punca kepada peningkatan penyakit kronik lain.

  • Wanita lebih ramai mengalami obesiti berbanding lelaki. (NHMS 2011)
  • Bangsa India lebih tinggi bacaan BMI berbanding bangsa Cina dan Melayu.
  • NMHS 2011 mencatatkan bangsa Melayu mempunyai BMI tertinggi berbanding dua bangsa lain.

 

Mushidah Zakiah
Pakar Pemakanan,
Prince Court Medical Center.

 


Subscribe