Kolesterol punca mati secara mengejut

Aterosklerosis adalah pembunuh nombor satu di dunia


Aterosklerosis adalah keadaan di mana plak lemak dan kolesterol yang terkumpul menyebabkan pembuluh darah (arteri) menjadi sempit dan menganggu aliran darah ke jantung.   


 

ATEROSKLEROSIS adalah keadaan di mana plak lemak dan kolesterol yang terkumpul menyebabkan pembuluh darah (arteri) menjadi sempit dan menganggu aliran darah ke jantung. Kesannya, ia akan menyebabkan iskemia. Apabila bekalan oksigen terhenti, maka penghidap boleh diserang serangan jantung dan akhirnya membawa kepada kematian.

Pakar Kardiologi, Prince Court Medical Centre, Dr. Nor Azlina Mohd Yusof berkata 2 dari 3 orang dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan yang sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, masalah kolesterol dan diabetes.

“Keadaan ini sebenarnya menyebabkan individu mati secara mengejut. Apabila plak terbentuk pada arteri, ia akan menghalang pengaliran darah kerana saluran darah yang sempit. Apabila situasi ini berlaku kepada organ jantung, ia akan menyebabkan masalah serius sehingga menyebabkan kematian. Dalam kes lain pula, jika arteri yang menyalurkan darah ke otak tersumbat, ia akan menyebabkan seseorang itu mengalami strok. Kedua-dua penyakit jantung dan strok ini boleh mengancam nyawa”.

“Situasi ini akan bertambah serius apabila adanya risiko lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan sebagainya. Saya sarankan apabila berlakunya keskes begini, anda harus memberi perhatian khusus kepada lipid”.

“Rakyat Malaysia majoritinya sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan jantung, tapi malangnya, ramai yang tidak mempraktiskan gaya hidup yang sihat”.
– Dr. Nor Azlina

SARINGAN AWAL

Ramai pesakit, terutama yang berisiko tinggi tidak sedar mereka mengalami arterosklerosis kerana tiada tanda. Oleh itu saringan kolesterol adalah penting untuk intervensi awal. Tambah Dr. Nor Azlina, umur yang disarankan untuk melakukan pemeriksaan jantung sebaiknya-baiknya semasa 30 tahun.

“Bagi mereka yang tidak menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti, dan kolesterol tinggi, saranan umur yang sesuai untuk melakukan pemeriksaan adalah ketika berumur 35 tahun, tetapi bagi mereka yang menghidap penyakit-penyakit ini, adalah lebih baik untuk melakukan pemeriksaan seawal umur 30 tahun”.

JANTUNG SIHAT, HIDUP BERKUALITI

Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa sekitar 9% atau 4000 dari 50 000 pesakit dirawat di hospital kerajaan meninggal akibat aterosklerosis pada tahun 2004 berbanding dengan kematian akibat kanser sebanyak 7%. Jumlah ini meningkat dari semasa ke semasa dan amat membimbangkan.

Heart transplantation. Low Density Lipoproteins juga dikenali sebagai (LDL) atau kolesterol buruk.

“American College of Cardiology menasihatkan supaya mereka yang menghidap obesiti untuk bersenam paling kurang 30 minit untuk lima kali sehari. Untuk mendapatkan kesihatan jantung dan tubuh yang baik, senaman di gym itu sebenarnya bukanlah suatu kewajipan. Malah, jika anda berjalan selama 30 minit ataupun menaiki tangga, itu sudah memadai. Berat menurun lima peratus pun sudah bagus untuk menjadikan jantung sihat. Lakukan secara konsisten selama enam bulan . Senaman yang bagus adalah senaman yang tidak membebankan tetapi dipraktiskan secara berterusan”. – al-Siha

 


FAKTA PENYAKIT JANTUNG

  1. Mengikut kajian, sebanyak 55% pesakit yang mendapat serangan jantung tidak sempat untuk sampai ke hospital
  2. 10% hingga 15% pesakit mati walaupun sempat sampai ke hospital
  3. Bangsa India mencatatkan rekod paling tinggi menghidap penyakit jantung di Malaysia dan luar negara. Faktor genetik adalah punca bagi keadaan ini
  4. Di Malaysia, kadar umur yang selalu mendapat serangan jantung adalah pada umur 58 tahun
  5. Kajian menunjukkan, rakyat Malaysia yang mendapat serangan jantung adalah 5 tahun muda dari negara Thailand dan Singapura
  6. Tahap kolesterol yang disarankan adalah di bawah 200 mg
  7. Kolesterol LDL – di bawah 70 mg untuk pesakit yang mempunyai penyakit jantung. Tahap bawah 100 mg jika mempunyai faktor risiko penyakit kardiovaskular dan bawah 130 mg untuk orang normal dan tidak ada faktor risiko.
  8. Wanita umumnya memiliki paras HDL lebih tinggi berbanding lelaki dan mereka dilindungi oleh hormon sampai menopause. Paras HDL dan risiko penyakit jantung mereka menjadi sama dengan lelaki setelah menopause
  9. Ubat untuk menurunkan paras kolesterol harus diambil hanya selepas konsultasi doktor

 

Subscribe