ALOPESIA ada jalannya…

• Alopesia memiliki jenis dan ciri-ciri yang berbeza antaranya ialah Areata, Universalis, Andro Genetik, Traction dan lain-lain lagi. Alopesia adalah nama saintifik untuk botak

• Alopesia Areata berpunca daripada pengurangan hormon, peningkatan usia dan juga keturunan

ALOPESIA adalah sejenis penyakit yang menyebabkan ketiadaan bulu atau rambut di bahagian kulit seperti di kepala, muka, dada mahupun alat kelamin. Antara punca Alopesia adalah disebabkan tekanan yang melampau, pengambilan makanan tambahan
(protein & steroid), keturunan, diet yang tidak sihat, merokok, jangkitan virus dan bakteria pada kulit dan lain-lain lagi.

Penyakit Alopesia ini memiliki jenis dan ciri-ciri yang berbeza antaranya ialah Areata, Universalis, Andro Genetik, Traction dan lain-lain lagi. Setiap kategori ini mempunyai cara rawatan yang berbeza dan kesannya juga berbeza, bergantung kepada sistem ketahanan tubuh seseorang.

Penyakit Alopesia ini memiliki jenis dan ciri-ciri yang berbeza antaranya ialah Areata, Universalis, Andro Genetik, Traction dan lain-lain lagi. Setiap kategori ini mempunyai cara rawatan yang berbeza dan kesannya juga berbeza, bergantung kepada sistem ketahanan tubuh seseorang.

Penyampai Berita di TV9, Amin Hayat Abd Rahim pernah menghidap penyakit Alopesia ini. Namun setelah menjalani rawatan yang agak lama menjadikan dia lebih kuat berbanding semalam. Amin Hayat, berkongsi saat suka dan duka ketika menghidap penyakit Alopesia jenis Areata.

MENGENAL PASTI ALOPESIA

Alopesia Areata berpunca daripada pengurangan hormon, peningkatan usia dan juga keturunan. Menurut Amin, dia sedar mengenai Alopesia ini saat hairstylist menegur tentang keadaan rambutnya yang bertompok-tompok.

“Semuanya bermula pada
tahun 2014. Ketika itu saya mahu memotong rambut dan hairstylist memberitahu ada tompok bulat besar di kepala. Saya risau dan mula mencari informasi mengenainya di internet dan dari situlah saya tahu mengenai penyakit Alopesia ini. Pada tahun 2016, masalah menjadi semakin serius dan tompok bulat itu menjadi semakin banyak”.

AKU BOTAK!

Alopesia adalah nama saintifik untuk botak. Amin Hayat akui dirinya sering kali menjadi bahan jenaka saat pertama kali dia berimej botak. Sebagai pengacara, imej botak seakan menguburkan segala impian.

“Ketika itu, saya seolah-olah berperang dengan perasaan serta emosi sendiri. Saya juga malu untuk berdepan dengan masyarakat. Saya menyarungkan sweater, dan memakai topi untuk menutup kepala botak saya. Tidak cukup dengan itu, rakan-rakan turut menjadikan imej botak saya sebagai bahan jenaka mereka. ‘Budak botak’, ‘Toyol’, ‘Alien’ dan ‘Telur’ antara panggilan yang saya terima. Walaupun mereka hanya bergurau namun kesannya, saya hilang motivasi diri.”

Benarlah, tuhan tidak akan membebani seseorang diluar kemampuan. Lama kelamaan, keyakinan itu hadir dalam dirinya. Meskipun mengambil masa 4 hingga 5 bulan untuk benar-benar yakin, tetapi kini dia lebih bermotivasi dan bersemangat.

Pada 22 April 2016, Amin Hayat bersiaran secara langsung dengan
imej botak dan itu adalah pendedahan yang pertama kali dilakukan secara umum. Antara sumber inspirasi yang menjadikannya tabah dan bersemangat adalah arwah Julia Perez yang meninggal dunia akibat kanser servik. Kekuatan serta keazaman Julia melawan penyakit itu hingga ke penghujung hidupnya dijadikan sebagai simbol positif buat diri Amin Hayat.

“Pernah saya terfikir adakah saya masih diterima bekerja sebagai pengacara apabila berimej botak? Tetapi, syukurlah kerana majikan berfikiran terbuka bahkan tidak menjadikan ia sebagai batu penghalang untuk saya terus bekerja. Terima kasih Puan Wan Sabariah Shikh Ali, Editor Eksekutif Berita TV9 dan pengurusan kanan Berita Hal Ehwal Semasa Media Prima yang tidak henti menasihati saya”.

PROTEIN DAN STRESS

Menurut Amin Hayat, Alopesia Areata yang menyerangnya berpunca dari tekanan yang sukar dikawal dan juga pengambilan makanan tambahan yang berlebihan.

“Saya mula berjinak dengan gym sejak 20-an lagi, dan waktu itu trend bagi kaum lelaki untuk memiliki bentuk badan yang tegap. Jadi kuantiti protein serta steroid yang diambil waktu itu tidak terkawal. Maklumlah, masih kurang pengetahuan mengenainya. Kesannya pula dialami selepas 10 hingga 15 tahun ekoran sistem imun yang semakin lemah, mengikut peningkatan usia. Jadi, serangan Alopesia ini terjadi hasil daripada pengambilan makanan tambahan yang tidak terkawal pada waktu dahulu. Selain itu juga, stress adalah salah satu punca utama penyakit ini. Apabila stress tidak dapat dikawal, maka ia boleh menyebabkan gejala insomnia berlaku. Jadi, ia memudahkan seseorang itu diserang Alopesia ini.”

RAWATAN

Pertemuan Amin Hayat bersama Dr Lim Tingsong dari Clique Clinic memberi kesan yang positif terhadap penyakitnya. Biarpun rawatan mengambil tempoh yang agak lama, namun semua pihak berpuas hati.

“Rawatan bagi Alopesia Areata ini begitu subjektif. Ada ubat yang sesuai untuk saya, tetapi tidak sesuai untuk ‘Alopesian’ lain. Ia bergantung kepada imun sistem seseorang. Prosedur yang paling menyakitkan adalah suntikan Platelet Rich Plasma (PRP) kerana saya disuntik lebih dari 100 kali suntikan di seluruh kulit kepala. Kesannya, kulit kepala membengkak dan doktor menggunakan kaedah laser untuk mengurangkan rasa sakit itu. Pada saya, rawatan yang terbaik dan berkesan adalah Excimer Laser Theraphy.

Untuk masalah penyakit Alopesia Areata, ia menggunakan cahaya
UV bagi memastikan kesuburan kulit kepala dijaga rapi. Tetapi, selepas 2 hari melakukan rawatan laser Excimer ini, kulit kepala akan menjadi kemerahan dan mengelupas. Kelihatan seperti sakit kulit. Jadi saya terpaksa menyarungkan apa-apa sahaja untuk menutup kulit kepala. Proses ini dilakukan berulang kali hinggalah rambut saya tumbuh kembali. Antara rawatan lain yang boleh dilakukan untuk merawat penyakit ini adalah iGrow Helmet, suntikan steroid dan Platelet Rich Plasma (PRP)”.

Tambahnya lagi, selain daripada rawatan klinikal, dia juga menjalani rawatan berbentuk tradisional untuk merawat rohani diri. Selain mendekatkan diri kepada Tuhan, kaedah mandi ais juga turut dilakukan.

INI ADALAH JIHAD

Bagi Amin Hayat, apa yang berlaku ada hikmahnya. Biarpun perit menjalani rawatan 15 bulan, namun ia satu pengalaman berharga yang tidak mungkin dilupakan. Tambahannya lagi, kini, adalah masanya untuk berjihad. Berjihad dari segi menyampaikan informasi penting kepada rakyat Malaysia mengenai Alopesia ini.

“Apa yang saya lakukan hari ini adalah kerana dengan niat berjihad. Dari situlah datangnya idea untuk melakukan kempen Aku Alopesia
#adajalannya . Saya agak terkejut apabila pertama kali saya melancarkan kempen ini, ramai rakyat Malaysia yang mengalami penyakit ini hadir
ke kempen saya itu. Terutamanya pesakit kanak-kanak. Situasi ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk melakukan kempen ini secara berterusan. Mungkin tahun ini saya akan lakukan dalam skala yang lebih besar”.

Apa yang menjadi persoalan dirinya adalah mengenai persepsi masyarakat Malaysia yang sering kali beranggapan negatif terhadap penyakit ini. Baginya, kesedaran secara mutlak wajar dilakukan kepada masyarakat untuk bersama-sama membantu pesakit Alopesia.

“Bagi saya, isu sebegini melibatkan psikologi. Jadi harus sama-sama membantu. Cabaran utama bagi penyakit Alopesia ini adalah motivasi diri. Jadi semua pihak harus peka dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai sebuah masyarakat yang harmoni. Apa yang penting, percayalah bahawa ubat yang terbaik adalah diri kita sendiri. Motivasi daripada al-Quran dalam surah AlInsyirah ayat 5 bermaksud, “Sesungguhnya bersama setiap kesukaran pasti ada kesenangan”. Jika kita kuat, pasti Tuhan akan menolong kita, dan Alopesia pasti ada penawarnya”.

Maka, terang lagi bersuluh, Alopesia bukanlah sejenis kanser. Ketepikan pandangan jahiliah anda tentang penyakit Alopesia ini dan cuba untuk memahami penyakit ini dan menjiwai jiwa pesakit Alopesia untuk bersama-sama melahirkan masyarakat yang lebih peka, prihatin dan pintar. – al-Siha

Subscribe